Ben Ibrahim
LOKASI tempat simpanan pasir di Kampung Bukit Palas, dekat Cherating, Kuantan terlalu hampir dengan kediaman mengakibatkan kehidupan penduduk kampung terganggu.
Kewujudan tapak itu sejak September lalu bukan sahaja mencemarkan udara, bahkan turut mendatangkan risiko kepada kanak-kanak di kampung berkenaan.
Menurut penduduk, Zahari Noor Embung, 54, lori yang mengangkut pasir itu juga menggunakan jalan sama digunakan penduduk kampung.
“Jalan ini digunakan anak-anak kami untuk ke sekolah dengan menaiki motosikal atau basikal, jadi, kami bimbang dengan keselamatan mereka.
“Sepatutnya pihak pengusaha perlu membuat kajian terperinci sebelum membuat ‘stock pile’ di sini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang lagi penduduk, Rokiah Yusop, 64, berkata keluarganya sangat terkesan dengan kewujudan ‘stock pile’ pasir yang terletak kira-kira lima meter sahaja dari rumahnya.

“Setiap hari terutama ketika cuaca panas, kami berdepan masalah debu dari tempat simpanan pasir sehingga terpaksa menutup tingkap untuk mengelakkan debu memasuki rumah.
“Saya risau dengan kesihatan saya, anak serta cucu memandangkan saya sendiri menghidap penyakit asma dan masalah ini memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu berkata, susulan aduan penduduk mengenai masalah itu, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan perjumpaan antara penduduk dengan wakil syarikat pengusaha pasir.

“Perjumpaan dan perbincangan secara baik itu bagi membolehkan penduduk menyampaikan keluhan serta mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kedua pihak.
“Hasil perbincangan itu, kata sepakat dapat dicapai apabila pengusaha bersetuju untuk mengambil beberapa langkah penyelesaian antaranya membaik pulih jalan yang rosak dan membina tirai tinggi yang bersesuaian bagi mengelak masalah debu,” katanya. – Malaysiapost

