Isu Menara KL: Annuar Musa saman pemimpin Umno, dua yang lain

0
2

BEKAS Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa mengaitkan beliau dalam polimik Menara KL yang kononnya dijual oleh Telekom Malaysia Bhd (TM).

Mereka ialah ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Razlan Rafii; serta dua lagi individu iaitu Adrian Lim Chee En dan K Pragalath Kumar.

Menurut Annuar, susulan isu tersebut, terdapat beberapa hantaran fitnah yang menjejaskan imej dan reputasi serta memberi kesan mendalam kepada beberapa pihak termasuk dirinya.

“Setelah merujuk perkara tersebut serta meneliti secara mendalam bersama peguam, saya tiada pilihan melainkan mengarahkan peguam mengambil tindakan menurut jalur undang-undang terhadap tiga individu iaitu Adrian Lim Chee En, K Pragalath Kumar dan Mohd Razlan Rafii.

“Ada juga yang membuat posting tanpa mengemukakan identiti sebenar mereka dan pihak saya akan cuba untuk mengenalpasti mereka.

“Saya serahkan kepada pasukan peguam untuk memulakan tindakan yang sesuai dan bertepatan dengan undang-undang sedia ada,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tambah Annuar, setiap perkara berbangkit terutama melibatkan kepentingan rakyat dan negara perlu disiasat dengan teliti oleh pihak berwajib.

“Semua pihak perlu memberi kerjasama serta tidak mengganggu penyiasatan dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu,” katanya lagi.

Sebelum ini, isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoal keputusan TM melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut mengesahkan menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada kementerian pada 14 Disember lalu dan akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara tersebut daripada TM.

Susulan itu, TM menjelaskan Menara KL adalah milik kerajaan manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu dijalankan secara konsesi.

Dalam satu kenyataan, ia berkata TM melalui anak syarikat milik penuhnya Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), telah melaksanakan konsesi itu sejak 1996.

Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada program transformasi perniagaannya, TM mahu menumpukan usaha dan sumber bagi mengukuhkan perniagaan teras iaitu telekomunikasi dan teknologi.

Oleh itu, selepas pertimbangan sewajarnya mengenai perubahan sifat perniagaan Menara KL daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti, TM pada Oktober 2021 memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi MKL dan memaklumkan kepada kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here