SEBANYAK 52,034 tiket bagi perlawanan terakhir membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Singapura dalam aksi peringkat kumpulan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini telah terjual.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), memaklumkan perkembangan itu di laman Facebook rasminya, setakat jam 2.30 petang tadi.
“Tiket berharga serendah RM30 bagi menyaksikan perlawanan terakhir Kumpulan B, Malaysia lwn Singapura boleh dibeli di https://www.tickethotline.com.my/…/AFF…/19/FAM.
“Jom penuhkan Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini!” kata FAM dalam hantaran berkenaan.
Pasukan Malaysia kendalian Kim Pan-gon kini berada di tangga ketiga Kumpulan B, manakala juara edisi 2008 dan 2018, Vietnam berkongsi mata dengan Singapura di tangga satu dan dua.
Skuad Harimau Malaya tiada pilihan lain selain perlu mencatatkan kemenangan menentang Singapura pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini, untuk layak ke separuh akhir. – Malaysiapost

