TIADA keperluan untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merombak Kabinet semata-mata untuk memuaskan hati sesetengah pihak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Katanya, anggota Kabinet sedia ada mampu melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara dengan baik dalam keadaan kerajaan dan rakyat sedang bergelut dengan kes Covid-19 yang semakin meningkat.
“Kenapa kita harus merombak Kabinet? Kita baru berapa bulan sahaja jadi kerajaan? Kepada sesiapa yang mendesak supaya rombakan Kabinet dibuat, itu hanyalah pendapat peribadi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama pengamal media di Ayer Keroh, Melaka malam tadi.
Mohd Redzuan berkata sebarang masalah dalaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu diselesaikan melalui perundingan seperti dalam keluarga.
Beliau juga percaya rakyat menyokong Kabinet sedia ada kerana Jemaah Menteri mampu berfungsi dengan baik.
Menurutnya, Muhyiddin tidak harus mengalah kepada tuntutan pihak tertentu dan meminta semua pihak dalam PN lebih bertanggungjawab memelihara keakraban persahabatan dan kerjasama dalam kerajaan.
“Kita kena perkukuh kerajaan, bukan memecah-belahkan perpaduan. Jika ada pihak mendakwa dia menyokong si polan dan pihak lain pula menyokong si polan lain, kita harus bermuhasabah kerana kita berjuang untuk rakyat.
“Kita patuh kepada undang-undang dan Perlembagaan. Rakyat amat memahami masa depan negara amat bergantung kepada kestabilan politik,” katanya. – katanya. Malaysiapost

