DAP Pulau Pinang sudah sedia hadapi PRN

0
2

DAP Pulau Pinang telah mula membuat persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada pertengahan tahun ini.

Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying, berkata segala persiapan untuk PRN itu adalah berteraskan kepada tiga perkara yang penting bagi Pulau Pinang.

Menurutnya, perkara pertama adalah ekonomi negeri yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan banyak perniagaan tempatan serta syarikat antarabangsa di Pulau inang terjejas, terutamanya dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.

“DAP Pulau Pinang akan memberikan penekanan dan tumpuan utama terhadap isu ekonomi negeri kerana itu adalah asas kepada kesejahteraan rakyat.

“Salah satu usaha kerajaan negeri adalah membangunkan infrastruktur kritikal seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang bukan sahaja akan mewujudkan pekerjaan baharu, malah juga mengurangkan kesesakan trafik di Pulau Pinang.

“DAP akan terus memastikan projek-projek infrastruktur yang penting dapat dilaksanakan supaya dapat menyakinkan rakyat terhadap pimpinan parti di kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perkara kedua adalah meneruskan program-program kebajikan rakyat yang selama ini telah membantu rakyat terbanyak.

“Pengerusi DAP Pulau Pinang merangkap Ketua Menteri, YAB Chow Kon Yeow telah mengumumkan bahawa sebanyak RM53 juta telah diperuntukkan untuk program i-Sejahtera bagi meringankan beban rakyat pada tahun ini.

“Selain itu, sebanyak RM8.2 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk program Bantuan Agenda Ekonomi Saksama bagi membantu golongan miskin tegar,” katanya.

Menurutnya, perkara ketika adalah keharmonian masyarakat yang telah berkali-kali diuji apabila pihak pembangkang yang ekstremis gemar mengapi-apikan sentimen perkauman.

“Ini dapat dilihat semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) dua bulan yang lepas.

“Pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan memberikan landskap politik negara antara blok ‘moderate’ yang mengutamakan keharmonian dan blok ekstremis yang memecahkan masyarakat dengan isu perkauman,” katanya.

Hui Ying berkata, untuk melaksanakan segala persiapan bagi menghadapi PRN, DAP Pulau Pinang melantik Bendahari DAP Pulau Pinang, Wong Hon Wai yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Bendera, sebagai Pengarah Kempen PRN 2023.

“Pada masa yang sama, Hon Wai juga akan berkhidmat sebagai Setiausaha Politik, Lim Guan Eng untuk membantu beliau dalam menjalankan tugas-tugasnya sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP.

“Dengan ini, kami di DAP Pulau Pinang akan terus berusaha dengan persiapan untuk menghadapi PRN yang akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here