KEMENTERIAN Belia dan Sukan akan mengadakan siasatan bebas untuk mengenalpasti sama ada latihan secara kekerasan sudah lama diamalkan seperti insiden yang berlaku dalam Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 Malaysia 2022 di Johor, baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata insiden jurulatih yang dikatakan menampar dua pemainnya pada kejohanan itu tidak wajar berlaku.
Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Ini adalah salah. Saya sudah bercakap dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan kami sama-sama sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan.
“Tampar budak perempuan salah, tampar budak lelaki pun salah. Malah, menampar sesiapa adalah salah,” katanya dalam ciapan di Twitternya hari ini.
Beliau menegaskan rakyat Malaysia perlu berhenti menormalkan penderaan fizikal sebagai cara bagi pematuhan arahan sama ada memabitkan anak, atlet, pasangan atau pun pembantu rumah.
“Setelah berbincang dengan Fadhlina Siddiq, KBS akan mengadakan siasatan bebas untuk mengenalpasti sama ada cara melatih menggunakan kekerasan sebegini telah lama diamalkan dalam pasukan bola tampar ini.
“Kita perlu belajar daripada perkara ini, tambah baik dan pastikan ia tidak berulang,” katanya.
Terdahulu, KPM menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan, akan memberi kerjasama kepada polis sekiranya ada laporan dibuat berhubung insiden seorang jurulatih menampar dua pemainnya yang rakamannya tular di media sosial.
KPM memaklumkan tindakan sewajarnya akan diambil serta memandang serius berhubung insiden itu. – Malaysiapost

