Umno perlu kembali kepada Islam, mesti bersama Pas

0
2

UMNO perlu kembali kepada Islam dan mesti bersama Pas untuk bangkit semula daripada terus ditolak rakyat dan terkubur selepas dua Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Bekas Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) tewas pada PRU-15 atas dua faktor utama iaitu jenamanya yang terlalu lama, kusam dan tiada sentuhan pembaharuan.

Menurutnya, ia berbeza berbanding Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang lebih muda, baru dan menarik serta lebih kuat untuk menarik pengundi baru dan ‘tua’ adalah kejatuhannya.

“Faktor kedua adalah perpecahan dalaman yang tidak diubati. Apabila anda masuk gelanggang dengan hati yang terpecah-pecah, anda tidak akan menang. Perpecahan adalah kekalahan.

“Kedua-dua faktor di atas adalah sunnah dan aturan Allah di dalam jatuh bangun hidup manusia.

“Dengan bebanan berat itu, ketika kempen PRU-15 lepas, BN tiada kekuatan untuk menangkis segala serangan ke atasnya. Dari hari ke hari sehinggalah hari mengundi, BN amat kelihatan malap,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, Pengerusi BN yang juga Presiden Umno Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak untuk bersama PN atas faktor Umno akan dimatikan di dalam PN dan melihat PH akan memberi Umno sedikit nafas dan kekuatan.

Menurutnya, sama ada pilihan itu betul atau salah ia perlu dihormati, namun beliau berpandangan untuk BN bangkit semula, Umno mesti kembali kepada Islam dan mesti bersama Pas sebagai rakan.

“Musibah adalah hukuman ringan, pengajaran, jalan taubat dan lebih hebat, meninggikan darjat. Hukuman berat hanyalah dengan musibah kematian. Umno terkena musibah pada PRU-14, tetapi tidak mati. Justeru ia adalah pengajaran dan jalan taubat yang perlu dilalui.

“Sebenarnya Umno telah menunjukkan tekad ke arah itu dan telah pun melakukan pindaan dalam perlembagaan parti mereka yang meletakkan Islam di tempat utama,” katanya.

Nik Mohamad Abduh berkata, malangnya perpecahan dalaman, kekalutan perebutan kuasa di dalam kerajaan selepas PRU-14 serta persaingan dengan parti Bersatu telah memalapkan usaha-usaha untuk meneguhkan semangat Islam di dalam Umno.

“Adakah itu hipokrit? Allah-lah yang maha tahu. Saya tidak akan menghukum. Bagi saya, pilihan Umno untuk bersama PH adalah tindakan terdesak akibat hilangnya keyakinan terhadap PN, bukan terhadap Islam,” katanya.

Menurutnya, apabila bertaubat dan ingin membaiki diri perlunya mendampingi rakan yang baik, justeru Umno mesti bersama PAS, kerana PAS adalah lebih mendahului parti yang lain di dalam komitmennya untuk Islam.

“Sebenarnya Umno telah pun melakukannya dengan bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN). Malangnya, salah faham berterusan yang gagal diselesaikan telah memalapkan MN dan hubungan PAS-Umno.

“Umno masih dua kumpulan. Kumpulan mana yang akan memimpin nanti, saya konsisten mengajak mereka untuk bersama Pas membina negara. Antara pantang saya, masuk campur urusan dalaman orang,” katanya.

Anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, itu berkata segala salah faham boleh diselesaikan dan kemenangan besar bukan dengan membunuh, tetapi dicapai dengan perdamaian.

“Politik negara telah menzahirkan pelbagai kepelikan. Ia bermaksud tiada yang mustahil dalam politik. Biarlah kalau mulut kuat sembang. Jangan pula muka yang tersembam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here