Kerajaan Perpaduan diseru ikut jejak Kedah hapuskan aktiviti judi

0
2

KERAJAAN Perpaduan diseru supaya menghapuskan aktiviti perjudian dengan mengikut langkah diambil kerajaan negeri Kedah yang menamatkan semua operasi premis perjudian dan loteri di negeri berkenaan sepenuhnya berkuatkuasa semalam.

Seruan itu dibuat Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) yang berpendapat kerajaan persekutuan perlu mempunyai tekad politik yang sama dalam menyelamatkan rakyat daripada bahana judi.

Ketua DUPP Datuk Ahmad Yahya, berkata kerajaan persekutuan tidak wajar sekadar berbangga dengan penurunan cabutan undi tetapi premis judi masih dibiarkan membelenggu masyarakat di negara ini.

“Ketengahkan dasar yang mendidik rakyat dalam neraca manusiawi yang betul berpandukan agama.

“DUPP yakin dan percaya bahawa tidak ada dapatan yang menunjukkan aktiviti perjudian boleh membawa masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan. Ia hanya ilusi ibarat sebuah fatamorgana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, aktiviti perjudian hanya membawa kepada keruntuhan moral serta mengganggu keharmonian keluarga dan masyarakat.

“Justeru, pelaksanaan dasar yang tegas terhadap judi wajar dilaksanakan tanpa syarat,” katanya.

Menurutnya, DUPP juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri Kedah di atas ketegasan menghapuskan lesen perjudian di negeri berkenaan.

Beliau berkata, pelaksanaan dasar itu sekaligus memenuhi sebahagian daripada tuntutan al-Quran sendiri yang mencegah umatnya daripada najis judi.

“Tindakan sedemikian menjadikan Kedah negeri ketiga selepas Kelantan dan Terengganu yang menamatkan lesen perjudian di bawah kerajaan negeri ditadbir PAS.

“Diharapkan dasar ini berterusan dan najis judi tidak lagi bertapak di bumi Jelapang Padi,” katanya.

Ahmad berkata, di sebalik pelbagai reaksi yang meragui kemampuan negeri meneruskan kelangsungan akibat penutupan premis judi, Kedah mendapat pelaburan tertinggi dalam sejarahnya sepanjang tahun 2021.

Menurutnya, kerajaan negeri berjaya menghasilkan deretan projek mega berimpak tinggi selain berjaya menghasilkan ratusan ribu peluang pekerjaan di negeri itu.

“Alhamdulillah, satu pintu kerosakan ditutup, jutaan pintu keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah dibuka. Inilah tunjang keberkatan daripada Yang Maha Esa insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here