Kediaman terbakar, 2 beradik rentung

0
2

DUA beradik berusia sembilan dan enam tahun ditemui rentung selepas kediaman mereka di Jalan Dewan Simpang Tiga, Kampung Tanggut, Gombak terbakar, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis, berkata kebakaran itu dilaporkan pada jam 3.54 pagi tadi.

“Seramai 17 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak dan BBP Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati terdapat sebuah rumah teres terbakar 70 peratus dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal pada jam 4.13 pagi dan pada jam 4.43 pagi pihaknya menemui dua mangsa iaitu masing-masing dua kanak-kanak lelaki dan perempuan yang rentung, dalam kejadian itu.

“Kanak-kanak yang ditemukan rentung itu Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 9 dan adik lelakinya berusia enam tahun Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan,” katanya.

Difahamkan ketika kejadian, hanya mangsa dua beradik berada di rumah dan gagal keluar kerana pintu jeriji berkunci. – Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here