BEREHAT sebentar bersama bakal isteri di sebuah hotel tidak dapat menghalang pasangan kekasih ini daripada diberkas sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kira-kira pukul 3.20 pagi tadi.
Pasangan kekasih itu ditangkap di sebuah hotel di Rembia, Alor Gajah, Melaka.
Teman lelaki yang merupakan seorang peniaga burger memberi alasan itu kepada penguatkuasa JAIM kononnya akan memperkenalkan kekasihnya itu kepada keluarga bagi membincangkan hal perkahwinan pada siang harinya.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan tersebut merupakan antara 12 individu berusia 21 hingga 56 tahun yang ‘ditangkap basah’ dalam Operasi Ambang Tahun Baharu 2023.
Beliau berkata, pasangan itu yang masing-masing berumur 24 dan 21 tahun dicekup selepas gagal membuktikan hubungan suami isteri yang sah.
“Antara dicekup adalah pasangan muda iaitu seorang peniaga burger bersama pembantunya yang mendakwa kononnya mereka dalam proses mendapatkan restu keluarga untuk mendirikan rumah tangga.
“Kita juga menahan sepasang kekasih berusia 56 dan 40 tahun yang merupakan suami dan isteri orang.
“Kesemua yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 53 (1) dan Seksyen (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991,” katanya kepada media dipetik Utusan Online, hari ini.
Tambah Che Sukri menjelaskan, pasangan suami dan isteri orang itu mengakui telah mempunyai lima serta tiga anak.
Katanya, kesemua ditahan dibawa ke Pejabat JAIM di Bukit Palah untuk siasatan lanjut. – Malaysiapost

