PERBUATAN menentang kaum bukan Islam yang menunjukkan permusuhan sama ada terhadap syariatnya, penganut atau kedaulatannya bukanlah rasis, tegas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Malah, Presiden PAS itu berkata, perkara berkenaan merupakan kewajipan besar dengan perintah Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW.
“Mereka yang menentang pendekatan Islam ialah musuh Islam dan umatnya,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, berpandukan maksud ayat 22 surah al-Mujadalah, asabiyah kaum dan bangsa atau fanatik perkauman adalah diharamkan apabila perjuangan bangsa atau kaum dijadikan akidah yang mengatasi Islam.
“Sehingga menyebabkan mereka itu berlaku zalim atau membela kaumnya yang zalim,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, kini lahirnya fahaman liberal atau sosialis yang menghapuskan kewujudan bangsa secara mutlak.
Jelasnya, fahaman itu hendak dibawa ke dalam masyarakat Islam, sehingga memisahkan peranan Islam daripada menyelamatkan bangsanya sendiri dan diheret oleh musuh Islam yang menyesatkan dengan menindas bangsanya sendiri kerana Islam yang dianuti.
“Sehinggakan, ada kalangan mereka yang berwala’ kepada musuh Islam yang mahu merosakkan bangsanya dengan ideologi dan kefahaman yang sesat,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, ramai kalangan mereka terpengaruh dengan teori asing yang bukan daripada ajaran Islam, sehingga mereka terperangkap dalam kefahaman yang salah dan sesat, walaupun dalam satu aspek tertentu sahaja.
Katanya, antaranya, aspek kewujudan bangsa dan kaum yang hendak dihapuskan, tanpa menyedari telah mencabar kekuasaan Allah Pencipta alam, termasuk manusia yang ditetapkan peranannya untuk beribadat, berkhilafah dan memikul amanah bagi melaksanakan syariat Allah SWT.
“Kewujudan kaum atau bangsa dalam kejadian manusia mengandungi suatu hikmah dalam penciptaan makhluk Allah SWT.
“Terdapat banyak ayat al-Quran dan sunnah yang menjadi petunjuk yang melarang daripada menggunakan akal semata-mata, kerana buta al-Quran itu lebih bahaya daripada buta huruf,” katanya. – Malaysiapost

