Utus surat ke Afghanistan, kerajaan Malaysia sudah iktiraf Taliban? – Saifuddin

0
2
saifuddin abdullah

BEKAS Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mempersoalkan tindakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin mengutus surat kepada rakan sejawatnya di Afghanistan pada 26 Disember lalu.

Beliau berkata, tindakan itu seolah-olah menggambarkan kerajaan Malaysia dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengiktiraf kerajaan Afghanistan yang diterajui Taliban.

“Saya nak komen surat Menteri Pengajian Tinggi kepada (pemangku) Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan, Neda Mohammad Nadem berkaitan isu pentadbiran Kabul tidak membenarkan wanita belajar di universiti negara berkenaan.

“Komen saya takde kaitan dengan kandungan surat itu, cuma saya nak dapat reaksi Kementerian Luar adakah sudah ada dasar mengiktiraf pentadbiran Kabul kerana ini adalah surat rasmi seorang menteri kepada seorang menteri negara lain.

“Secara lazimnya, (surat rasmi) hanya diutuskan apabila kita mengiktiraf kerajaan atau pun pentadbiran negara tersebut dan setakat yang saya tahu sebagai bekas menteri luar, kita belum, setakat pentadbiran yang lalu, belum iktiraf kerajaan atau pihak berkuasa di Kabul,” katanya dalam sidang media di Kuantan, petang tadi.

Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota itu turut berkata, sekiranya ada perbincangan dengan menteri-menteri dari Kabul sebelum ini, ia dilakukan secara tidak rasmi.

Mohamed Khaled dalam satu kenyataan media pada Isnin lalu memaklumkan dia sudah menghantar surat kepada Neda Mohammad Nadem dan Duta Afghanistan di Malaysia, Dr Moheb Rahman Spinghar.

Surat itu antara lain meminta kerajaan Afghanistan mengkaji semula keputusan mengharamkan golongan wanita memasuki universiti kerana didakwa boleh menjejaskan pembangunan pendidikan umat Islam pada masa akan datang.

“Saya amat sedih apabila mengetahui keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi Afghanistan yang baru-baru ini mengharamkan wanita daripada memasuki institusi pengajian tinggi di negara itu.

“Malaysia membuktikan bahawa wanita mampu meningkatkan reputasi negara melalui pendidikan yang mantap.

“Saya yakin pendidikan untuk golongan wanita di Afghanistan akan menjadikan mereka sebagai aset berharga kepada negara dan membantu membina daya tahan, kestabilan serta perpaduan sosial yang kukuh ke arah pembinaan bangsa,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here