DEWAN Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti.
Keputusan itu diumumkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas proses pengundian RUU dijalankan pada Persidangan DUN Perak hari ini.
Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir sebulat suara menyokong pindaan RUU itu yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, semalam.
Terdahulu, dalam ucapan penggulungannya, Saarani berkata, RUU itu bukan sahaja melakar sejarah baharu tetapi adalah permulaan kepada pembaharuan institusi yang lebih menyeluruh demi mengukuhkan demokrasi negara.
Menurutnya, antara implikasi penting RUU itu ialah untuk menghantar isyarat kepada rakyat bahawa sebagai wakil rakyat dan penggubal undang-undang serius untuk menangani amalan lompat parti yang membawa ancaman kepada kestabilan politik.
“Walaupun ada kemungkinan perbuatan melompat parti berlaku lagi selepas akta ini diwujudkan, namun saya yakin bahawa usaha-usaha penambahbaikan dari semasa ke semasa akan dapat dilakukan.
“Pada waktu ini, kita berusaha sebaik mungkin untuk mewujudkan akta ini sebagai langkah awal membendung perbuatan melompat parti,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Menurut Saarani, akta berkenaan tentunya tidak dapat menyelesaikan masalah secara seratus peratus, namun, ia adalah langkah pertama yang sangat penting untuk menjernihkan sistem amalan demokrasi dalam negara dan negeri. – Malaysiapost

