EMPAT Ahli Parlimen Sabah boleh mengekalkan kerusi masing-masing tanpa perlu mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK), kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menurutnya, berdasarkan Akta Anti Lompat Parti yang telah dilulus dan diwartakan, calon bertanding atas logo parti bukannya keahlian.
Jelasnya, dalam kes di Sabah, empat Ahli Parlimen terbabit bertanding menggunakan lambang Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bukannya Bersatu.
“Saya berada dalam jawatankuasa pilihan untuk menggubal undang-undang larangan bertukar parti dan diputuskan bahawa status setiap calon adalah berdasarkan lambang parti yang beliau bertanding.
“Dalam jawatankuasa tersebut kita telah membincangkan bagaimana untuk mengiktiraf mandat rakyat dengan menggunakan lambang yang digunakan setiap calon.
“Empat Ahli Parlimen dari Sabah itu mendapat watikah daripada Pengerusi GRS iaitu Datuk Seri Hajiji Noor bukan dari Presiden Bersatu atau Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dipetik Astro AWANI.
Sehubungan itu, Mohamed Nazri berkata, empat Ahli Parlimen di Sabah itu masih kekal sebagai ahli Dewan Rakyat biarpun Bersatu mendakwa mereka masih ahli parti itu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
“Datuk Seri Dr Ronald Kiandee tidak ada dalam jawatankuasa pilihan ketika penggubalan undang-undang larangan bertukar parti dibincangkan, jadi beliau mungkin tidak faham tentang perkara ini.
“Pada saya, tidak ada keperluan untuk Speaker Dewan mengisytiharkan empat kerusi tersebut kosong kerana mereka bertanding atas lambang GRS bukan Bersatu,” katanya lagi.
Terdahulu, Bersatu dilaporkan sudah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memastikan bahawa telah berlaku kekosongan luar jangka membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah yang didakwa ditandingi sebagai ahli parti tersebut.
Ronald yang juga Ketua Bersatu Sabah berkata, permohonan sudah dibuat kepada Speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.
Empat Ahli Parlimen GRS itu terdiri dari Datuk Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang). – Malaysiapost

