PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, menzahirkan rasa sedih apabila menerima perkhabaran kes kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Batu Pahat pada Isnin lalu.
Baginda bertitah agar seluruh rakyat Malaysia supaya lebih peka dan mengambil berat akan keselamatan kanak-kanak serta tidak mengambil sikap lepas tangan sehingga berlaku kes penderaan yang berlarutan dan mengakibatkan kematian.
“Sungguh memilukan hati saya mendengar penerangan daripada Ketua Polis Johor (Datuk Kamarul Zaman Mamat), sehingga beliau sendiri menitiskan air mata.
“Ia mengingatkan saya kepada kes mendiang ‘Baby Bala’ pada tahun 1990 yang turut membawa kepada penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001.
“Sebagai seorang ibu dan juga nenek, saya bukan sahaja menyeru, bahkan merayu kepada seluruh rakyat Malaysia, supaya lebih peka dan ambil berat akan keselamatan kanak-kanak. Setiap nyawa, tidak ternilai harganya,” titah Baginda menerusi hantaran di Facebook The Royal Johor.
Terdahulu Baginda berkenan menerima mengadap Ketua Polis Johor, bagi menerima persembahan makluman tentang fakta-fakta kes itu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, semalam.
Turut hadir pada pertemuan itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Datuk Amir Nasruddin dan Presiden Johor Women’s League (JEWEL), Thanam Visvanathan-Suresh bagi menyampaikan pandangan dari sudut perundangan serta NGO.
Baginda berharap kematian kanak-kanak itu tidak sia-sia, dan menjadi peringatan kepada masyarakat untuk lebih peka dalam melindungi golongan itu.
“Ada pepatah menyebut satu kampung diperlukan untuk membesarkan seorang kanak-kanak. Kanak-kanak mengharapkan dan memerlukan kita ahli masyarakat untuk menjaga keselamatan mereka. Janganlah kita lepas tangan sehingga terjadi penderaan berlarutan dan kehilangan nyawa.
“Kita semua ada peranan yang amat penting dalam masyarakat iaitu melindungi kanak-kanak dari didera. Tanggungjawab kita adalah amat besar. Jangan lupa itu adalah amanah dari Allah Yang Maha Esa,” titah Baginda.
Media melaporkan berita menyayat hati apabila kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia Isnin lalu dipercayai akibat didera dengan kesan kecederaan hampir di seluruh anggota badan termasuk dicucuh benda panas pada kemaluan.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata selain kesan melecur berkenaan terdapat juga kesan pukulan di bahagian belakang badan mangsa.
Sehingga kini, lima individu berusia lingkungan 15 hingga 37 tahun sedang direman bagi membantu siasatan termasuk kakak mangsa yang berusia 19 tahun dan suaminya yang berusia 37 tahun. – Malaysiapost

