MALAYSIA diramalkan kembali mengatasi ekonomi Singapura pada tahun 2027 selepas dipintas oleh republik itu pada 2015, menurut laporan Jadual Liga Ekonomi Dunia (WELT) 2023.
Menurut laporan peramal ekonomi antarabangsa yang berpangkalan di London, Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (CEBR), Malaysia akan mengatasi Singapura pada 2027, didorong oleh gabungan demografi dan asas ekonominya yang lebih luas.
“Dalam tempoh 15 tahun akan datang, Malaysia dijangka meningkat secara beransur-ansur dalam jadual ini daripada kedudukan ke-41 pada tahun 2022 kepada tempat ke-35 pada tahun 2037.
“Malah Malaysia, yang kini ketinggalan enam tempat di belakang Singapura, diramalkan akan berpindah keempat tempat di atas Singapura menjelang tempoh akhir ramalan ini pada 2037,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Di peringkat serantau, Malaysia bagaimanapun dijangka diatasi oleh kebanyakan negara jiran yang lain.
Laporan itu menyebut Indonesia, negara keempat paling ramai penduduk di dunia, dijangka bergerak daripada ekonomi ke-17 terbesar di dunia pada 2022 menjadi ekonomi ke-11 terbesar menjelang 2037.
Vietnam pula meningkat daripada tempat ke-39 pada tahun 2022 kepada tempat ke-26 pada tahun 2037, manakala Thailand dari ke-31 bergerak ke-25 dan Filipina dari tempat ke-38 naik kepada 27.
Di peringkat Asia pula, India kini secara jelas dalam perjalanan untuk menjadi kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia.
Angka yang disemak kini menunjukkan bahawa India mengatasi United Kingdom (UK) untuk menjadi ekonomi kelima terbesar di dunia pada 2021.
Ia diunjurkan akan memintas Jerman untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia pada 2026 dan untuk memintas Jepun untuk menjadi ekonomi ketiga terbesar di dunia pada tahun 2032.
Menjelang 2035, India diramalkan untuk menjadi ekonomi AS$10 trilion dolar ketiga di dunia.
Sementara itu, laporan berkenaan mendapati ekonomi negara-negara Eropah dijangka tidak banyak berubah. – Malaysiapost

