KEPERLUAN atlet dan persatuan sukan tanah air diibarat seperti ayam dan telur.
Perkara itu dijelaskan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang berkata, pihaknya memahami situasi dihadapi para atlet dan persatuan sukan yang mahu mengadakan lebih banyak kejohanan namun dikekang oleh birokrasi pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Macam chicken and egg, tidak tahu mana yang datang dahulu. Atlet mahu banyak kejohanan, persatuan mahu gunakan infrastruktur tetapi infrastruktur dikawal PBT (Pihak Berkuasa Tempatan)… jadi kita perlu menyelaraskan banyak pihak,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Kejohanan Boling Padang (empat sepasukan) Terbuka Kuala Lumpur, di Kompleks Boling Padang, Bukit Kiara, hari ini.
Bagaimanapun, Hannah menjelaskan, beliau sudah melengkapkan sesi Townhall bersama 320 atlet membabitkan atlet normal dan para, serta bertemu 150 badan sukan termasuk 33 badan sukan para, menerusi empat sesi dalam bulan ini.
Hannah berkata, KBS akan meneliti semua perkongsian daripada atlet, pegawai dan persatuan sukan, sebelum merumuskannya selepas pembentangan Bajet 2023, Januari tahun hadapan.
Katanya, kekurangan penyertaan kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa merupakan antara keluhanan utama atlet dalam sesi Townhall.
Hannah berkata, isu kebajikan juga menjadi kebimbangan atlet, yang mungkin berasa kebajikan mereka terabai
“Atlet menyatakan mereka tak cukup pendedahan dan kekurangan kejohanan, nak perbaiki ranking.
“Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) pula kebanyakannya menyuarakan kegusaran terhadap kesukaran untuk menggunakan infrastruktur sukan, contohnya persatuan sukan para, mereka tiada venue eksklusif untuk digunakan… mereka menyewa dan perlu meletakkan pemegang tepi untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU), dan selepas tamat menggunakannya, perlu mencabut pula,” katanya. – Malaysiapost

