BANK Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Januari 2023, kata penganalisis.
Penganalisis menjangkakan momentum optimis akan berterusan yang mendorong bank pusat menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), bulan depan.
Jika ia dilaksanakan, ia bakal menjadi kenaikan OPR kelima berturut-turut sejak kali pertama pada 11 Mei 2022.
MIDF Research berkata, trend inflasi yang tinggi di Malaysia didorong oleh permintaan pengguna yang kukuh, manakala petunjuk bagi inflasi kos sudah berkurangan sejak kebelakangan ini.
Katanya, pasaran pekerjaan juga mulai meningkat dengan pertumbuhan guna tenaga melebihi tiga peratus bagi tujuh bulan sejak April 2022.
Manakala import barangan penggunaan dan jualan perdagangan pengedaran terus berkembang pada kadar dua angka dengan masing-masing sebanyak 21.6 mata dan 15.2 peratus pada Oktober 2022.
Menurutnya, aliran inflasi keseluruhan menyederhana walaupun kekal pada 4.0 peratus pada November 2022.
“Dengan momentum yang memberangsangkan ini, kami percaya BNM berkemungkinan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.00 peratus dalam mesyuarat MPC pertama tahun depan pada 23 Januari,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Selain itu, Kenanga Research menjangka BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari 2023 untuk menyelaras semula dengan trend pengetatan monetari global dan membendung inflasi teras yang sentiasa tinggi.
Bagaimanapun, ia menjangka kebarangkalian 50 peratus kenaikan kadar pada paras sama pada Mac 2023 berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat dan potensi kelembapan domestik pada tahun itu.
“Kami jangka kadar terminal adalah sekitar 3.00 peratus hingga 3.25 peratus, selaras dengan purata OPR jangka panjang.
“Selepas itu, BNM mungkin akan mengekalkannya untuk sepanjang tahun 2023,” katanya.
KAF Investment Bank Bhd pula berpandangan BNM belum selesai dengan kitaran meningkat kadar penanda aras pinjaman dan deposit di negara ini.
Ia menjangka bank pusat akan terus mengetatkan dasar monetarinya dengan OPR meningkat 50 mata asas kepada 3.25 peratus pada separuh pertama 2023 dan dijangka kekal pada paras itu menjelang akhir 2023.
Menurutnya, jangkaan itu lebih tinggi berbanding 3.00 peratus sebelum ini berikutan bank pusat berusaha untuk menyediakan penampan dasar yang lebih besar terhadap kesan buruk yang tidak dijangka. – Malaysiapost

