Siasatan insiden tanah runtuh Batang Kali hampir selesai

0
3
foto kredit: POLIS SELANGOR

SIASATAN insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Gohtong pada 16 Disember lalu, hampir selesai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata siasatan menyeluruh kini hampir selesai antara 85 hingga 90 peratus.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan 77 individu termasuk anggota keluarga mangsa yang terkorban serta mereka yang terselamat bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun masih ada individu akan dipanggil untuk diambil keterangan terutama dalam kalangan pasukan penyelamat yang paling awal tiba di tempat kejadian dan yang menemui mayat,” katanya hari ini.

Menurut Arjunaidi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304A dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan serta Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Pasukan penyiasat akan masuk ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan. Namun, ia agak sukar berikutan keadaan tanah masih lembut susulan hujan berterusan,” katanya.

Ditanya sama ada siasatan menjurus kepada pengendali tapak perkhemahan, Arjunaidi berkata, siasatan dibuat ke atas pelbagai pihak dan merangkumi segenap aspek.

“Siasatan kita untuk mengenal pasti kecuaian mana-mana pihak yang menyebabkan kematian dan tidak bertumpu kepada satu pihak kerana tak boleh nak berat sebelah,” katanya.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, polis sudah mengesan 20 kenderaan yang rosak dan tertimbus dalam kejadian berkenaan manakala pemilik akan dikenal pasti menerusi rekod pendaftaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi 16 Disember lalu, tapak perkhemahan berkenaan ditimbus dengan ketinggian runtuhan tanah dianggar 30 meter dengan keluasan runtuhan 3.2 hektar.

Seramai 92 mangsa terbabit dalam kejadian itu dengan 61 mangsa terselamat, manakala 31 orang disahkan meninggal dunia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here