Maahad tahfiz diceroboh, pengasas cedera dipukul

0
2

HANYA kerana menegur kawasan sebuah maahad tahfiz di Ipoh, Perak diceroboh, seorang pendakwah terkenal yang juga pengasas pusat berkenaan dipukul hingga mengalami kecederaan.

Kejadian berkenaan didedahkan oleh Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap) yang menerima makluman mengenainya daripada pengetua maahad tahfiz terbabit.

Pengerusi Pematap Datuk Mohd Azlan Suhaimi, berkata pihaknya menerima makluman daripada Ustaz Halim Din, Pengetua Maahad Tahfiz Al Khalidiah (Matak) Kampung Sri Kinta, yang mendakwa kawasan Maahad tahfiznya diceroboh oleh beberapa remaja untuk bermain bola sepak pada petang Ahad lalu.

Menurutnya, pencerobohan itu juga dikatakan bukan kali pertama dan menyebabkan pengasas maahad tahfiz berkenaan bertindak untuk bertemu dengan keluarga seorang daripada remaja yang dipercayai menceroboh bagi menasihati dan memberi teguran.

“Ustaz Halim Din telah pergi ke rumah salah seorang budak tersebut untuk menasihati dan memberi teguran tetapi malangnya beliau telah dimaki hamun, diserang, ditumbuk, dihalau, dipukul sehingga mendatangkan kecederaan oleh waris budak tersebut.

“Pematap juga dimaklumkan satu laporan polis telah dibuat berhubung kes tersebut di Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh pada hari kejadian,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook Pematap.

Beliau berkata, pihak Pematap berpandangan kes seumpama itu khasnya pencerobohan yang berulang kali adalah serius termasuk kes pukul yang mendatangkan kecederaan.

“Justeru, Pematap berharap agar kes yang telah dilaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut dapat dilaksanakan sebaik dan sewajarnya supaya perkara seumpamanya tidak berulang pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here