Perlekehkan darah pahlawan Zahid cadang jawatan Presiden tidak dipertandingkan

0
2

SEBAGAI pemimpin berdarah pahlawan, pastinya sebarang cadangan agar jawatan Presiden Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu tahun hadapan disifatkan sebagai memperlekahkan kewibawaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, Ketua Puteri Umno Bahagian Ledang, Nadhirah Afiqah berkata, cadangan yang dilontar beberapa pemimpin Umno itu hanyalah satu tindakan membodek kepimpinan tertinggi parti.

“Jika sebelum ini alasan penangguhan pemilihan adalah disebabkan tidak mahu berlaku perpecahan menjelang PRU15, justeru usai PRU15 seharusnya proses demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO ini dihormati dan dipatuhi.

“Cadangan supaya jawatan utama terutamanya Presiden tidak dipertandingkan juga dilihat memperlekehkan kebolehan Presiden dalam mempertahankan jawatan yang disandangnya kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Nadhirah berkata, sebagai Presiden Umno, Ahmad Zahid telah membuktikan kejantanannya susulan dapat kembali menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, sebagai pemimpin yang bijaksana, percaturan Ahmad Zahid telah membawa parti itu terus berada dalam kerajaan walaupun hanya memenangi 26 kerusi dalam PRU15 yang lalu.

“Dengan rekod pencapaian ini, adalah mustahil beliau akan berasa gentar untuk menghadapi apa-apa cabaran dalam pemilihan parti malah pastinya akan mempertahan dan melindungi asas demokrasi dalam Umno,” katanya.

Justeru, Nadhirah berkata, cadangan untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno bukanlah pendirian lebih tiga juta ahli Umno seluruh negara yang mahu melihat demokrasi dalam parti itu dihidup dan disuburkan semula. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here