‘Hanya orang gila seperti Wan Ahmad Fayhsal cadang idea berbukti gagal’

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyelar idea-idea yang diberi Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkenaan kawalan harga ayam dan telur yang disifatkan ‘tidak pernah berjaya’.

Beliau berkata, masalah harga ayam dan telur telah bermula sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun 2021 dan berlarutan sehingga sekarang.

“Hanya orang yang gila seperti WAF (Wan Ahmad Fayhsal)sahaja yang akan cadangkan idea-idea yang telah dua tahun terbukti gagal bagi menyelesaikan masalah pokok.

“Sebenarnya, masalah harga ayam dan telur naik mendadak bermula sebelum hari raya puasa tahun 2021 namun tindakan kerajaan PN (Perikatan Nasional) masa itu yang menyebabkan keadaan dan struktur industri bertambah teruk.

“Pada masa itu, Najib dah beri amaran bahawa tindakan kerajaan untuk kawal harga ayam dan telur tanpa menyelesaikan masalah pokok akan menyebabkan kekurangan bekalan yang akan menyebabkan harga naik lagi tinggi kemudian,” kata satu hantaran di Facebook rasmi Najib, hari ini.

Hantaran itu berkata, sebelum ini bekas Perdana Menteri itu sudah banyak menulis dan memberi beberapa cadangan bagi menyelesaikan masalah harga ayam dan telur.

Katanya, antara cadangan itu termasuk memberi subsidi bagi dedak dan kos elektrik kepada penternak, menyelesaikan masalah kekurangan pekerja sektro penternakan dan pertanian, serta kerajaan negeri memberi peruntukan tanah terbiar untuk sektor penternakan dan pertanian.

“Namun kerajaan PN dan Ismail amat degil, masalah kekurangan bekalan ayam dan telur serta harga tinggi tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini.

“Ya, kawal harga ataupun larangkan eksport tidak selesaikan masalah. Sudah terbukti pun sejak dua tahun lalu.

“Salahkan pengguna dan suruh rakyat jangan makan ayam dan telur bila harga tinggi juga tak selesaikan masalah sebab ianya merupakan makanan paling asas dan juga sumber protein paling murah bagi semua rakyat,” kata hantaran itu lagi.

Dalam pada itu, hantaran itu berkata permintaan bagi ayam dan telur adalah tinggi dan sukar untuk dikurangkan.

“Jadi, kena tumpu pada penyelesaian supply-side – iaitu kos bekalan dan pengeluaran seperti dicadang Najib sejak hampir dua tahun lalu,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua ARMADA Bersatu menerusi sebuah video memberi cadangan kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagi mengawal harga ayam dan telur di pasaran.

Beliau mencadangkan beberapa akta yang boleh digunakan termasuk Akta Kawalan Bekalan 1961; Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974; Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Ayam) 1996; Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011; Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here