Saya maafkan semua pihak yang pernah mencaci saya -Zahid

0
2

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan perasaannya untuk memaafkan semua pihak yang pernah melemparkan pelbagai tohmahan serta cacian terhadapnya sebelum Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditubuhkan. 

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, semua pihak perlu maju ke hadapan membangunkan negara dan memberi tumpuan kepada rakyat serta tidak lagi menoleh ke belakang.

“Saya diberitahu (Ahli Parlimen Klang), V Ganabatirau kata nak mohon maaf kepada saya sebab sebelum ini beliau tidak kenal saya dan saya tahu beliau dalam ceramah serta di media sosial banyak tulis mengenai saya, Umno, Barisan Nasional (BN) dan beliau memberitahu persepsi itu dahulu sebab beliau tidak mengenali saya.

“Jadi sekarang tiada lagi persepsi negatif yang menunjukkan kami dalam UMNO, BN tidak seburuk yang dikatakan.

“Sudah cukup-cukuplah kita berbeza pendapat. Secara peribadi saya memaafkan mana-mana individu atau tokoh atau parti atau organisasi yang tersilap. Kita maafkan sepenuhnya tetapi pesanan saya ialah jangan buat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari sempena penubuhan Kerajaan Perpaduan di Jalan Bukit Kemuning di Shah Alam, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning.

Pada masa sama, Ahmad Zahid menjelaskan, fokus utama beliau adalah  untuk memastikan rakyat mampu meneruskan kelangsungan hidup.

“Sebab itu negara kita ini dirahmati kerana kita berkongsi pemikiran yang sama, bukan sahaja dari segi politik malah atas semangat kebersamaan sebagai rakyat Malaysia.

“Jadi saya menyeru kepada diri sendiri, lain-lain parti bahawa pilihan raya sudah berlalu dan rakyat sudah beri mandat serta (penubuhan kerajaan sudah) mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kita mesti maju ke hadapan, ketepikan kisah lalu kerana apa yang penting ialah perkhidmatan kita kepada rakyat pelbagai kaum,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here