PM ajak rakyat bersama semai benih perpaduan, erat silaturrahim

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada segenap lapisan masyarakat memainkan peranan dalam membenih dan menyemai budaya perpaduan di negara ini.

Beliau berkata, perpaduan rakyat Malaysia tidak hanya terletak di bahu pemerintah, sebaliknya peranan sama perlu dimainkan oleh setiap warganya.

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu memainkan peranan ampuh yang berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan dan semangat bersatu padu.

“Mesej atau seruan yang berbaur kebencian dan cubaan untuk mengapi-apikan perbezaan perlu dibenam dengan sikap kasih sayang serta rahmah.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajipan setiap kita untuk mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahim antara rakyat dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena sambutan perayaan Krismas 2022, yang disambut esok menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.

Mengulas mengenainya, Anwar berkata, Hari Krismas atau Hari Natal adalah hari besar kepada penganut Kristian dan diraikan bersama keluarga serta sahabat setiap tahun.

“Semoga sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah serta membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada Malaysia, yang terbilang dan rakyatnya yang mencintakan keadilan.

“Kepada yang pulang ke kampung halaman, saya seru untuk berwaspada dan berhati-hati di jalan raya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here