
BENCANA banjir di Kelantan setakat ini telah meragut lima nyawa sejak 18 Disember lalu membabitkan daerah Tumpat dan Pasir Mas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kesemuanya mangsa maut akibat lemas dengan tiga mangsa dilaporkan di Tumpat dan selebihnya di Pasir Mas.
Menurutnya, bagaimanapun kejadian melibatkan mangsa berusia 18 tahun di Tendong, Pasir Mas semalam bukan disebabkan oleh banjir.
“Hal ini kerana, mangsa ke kawasan tadahan air itu untuk memancing, pada masa yang sama dia berusaha menyelamatkan sepupunya yang lemas. Bagaimanapun dia yang menjadi mangsa.
“Apapun kita nasihatkan supaya orang ramai yang kediaman mereka digenangi air, supaya terus berpindah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada media dipetik Utusan Online di Kota Bharu, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki memberitahu, sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kes kecurian berlaku ketika mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, Polis Kelantan sentiasa melakukan rondaan dan mengawasi kediaman yang ditinggalkan oleh penduduk sepanjang musim banjir. – Malaysiapost
