Nanta Linggi sebak ziarah keluarga mangsa renjatan elektrik

0
2

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tidak dapat menahan sebak ketika mengunjungi keluarga tiga beradik yang menjadi mangsa renjatan elektrik di Kampung Morak, Tumpat, Kelantan, Isnin lalu.

Nanta berkata, sebagai bapa kepada enam anak perempuan beliau mengakui tidak dapat menahan perasaan sedih mengenang ujian yang menimpa ibu bapa dan ahli keluarga mangsa.

“Sebagai seorang ayah kepada enam orang anak perempuan, mendengar detik-detik beliau dan isteri kehilangan kesemua anak perempuan mereka dalam sekelip mata, tidak dapat saya bayangkan.

“Perasaan sebak tidak dapat saya tahan, bercampur baur dengan kesedihan di atas apa yang menimpa kepada mangsa dan juga, terbayangkan sendiri anak-anak perempuan saya yang jauh di mata ketika ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, beliau sempat mengunjungi keluarga berkenaan ketika melakukan lawatan kerja meninjau keadaan banjir di Kelantan.

Dalam pertemuan itu, Nanta berkata, beliau sempat memberi kata-kata semangat kepada bapa mangsa, Mohd Nadzir Mohamed dan isterinya.

“Walau ia tidak mungkin dapat meredakan kesedihan, namun saya berharap sedikit sebanyak dapat menyuntik sedikit semangat kepada keluarga ini.

“Di mata ibu bapa, anak-anak masih lagi terlihat seperti anak kecil yang pernah berlari-lari ke dakapan kami, walau berapapun jumlah angka yang bertambah di usia mereka.

“Kasih sayang seorang ibu dan bapa kepada anak tidak terbatas dan tinggi langit, bukanlah hadnya. ‘Perginya’ anak-anak meninggalkan kami adalah satu kepedihan yang tak tergambarkan,” katanya.

Dalam kejadian Isnin lalu, tiga beradik perempuan maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah rumah yang ditenggelami air akibat banjir di Kampung Morak, Tumpat, Kelantan.

Kejadian jam 12 tengah hari itu dikatakan berlaku ketika salah seorang daripada mereka tergelincir dan terpegang tiang pada garaj di sebuah rumah jiran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here