Isu Pulau Batu Puteh: ‘Pendekatan Anwar sama macam Tun M’ – Shahrir

0
2

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan pendirian Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai persamaan dengan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berbubung isu Pulau Batu Puteh.

Shahrir berkata, beliau menyangkakan Anwar akan lebih bertegas dalam soal penarikan rayuan kes Pulau Batu Puteh oleh Kerajaan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ianya keputusan tersendiri oleh PM7 (Dr Mahathir) menyebabkan negara kehilangan terus Batu Puteh. Satu keputusan yang membawa kesan kepada kedaulatan negara,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Johor Bharu itu menyifatkan kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah lebih jelas dan tegas dalam isu Pulau Batu Puteh.

“PMX (Anwar) mengubahkan cerita Batu Puteh kepada soal hubungan antara Malaysia dan Singapura. Lebih kurang macam pendekatan PM7 (Dr Mahathir) juga.

“Kerajaan Perpaduan nampak macam sama je dengan Kerajaan PH dalam soal Batu Puteh?,” soalnya.

Dalam hantaran berasingan, Shahrir turut menzahirkan rasa kecewa kerana Jemaah Menteri tidak menjadi ‘check and balance’ bagi Kerajaan Perpaduan.

“Saya ingatkan Jemaah Menteri akan menjadi ‘check and balance’ bagi Kerajaan Perpaduan.

“Dah satu isu yang boleh membuatkan harapan saya itu tidak tepat. Tunggu pula dengan isu projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dan pelebaran Lebuhraya Utara Selatan di sebelah negeri Johor.

“Dua perkara ini bersama Batu Puteh menjadi tiga kerugian negeri Johor selepas PRU14,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, kerajaan telah mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri juga telah meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap pulau yang kini sudah diserahkan kepada negara jiran itu.

“Kerajaan juga meminta supaya diteliti semula supaya ada rundingan yang lebih bermakna dan segera dengan Singapura agar tidak ada masalah berbangkit dengan hubungan dua negara sahabat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here