PELAKON Anita Baharom,39, selamat bergelar isteri kepada Engku Isyamuddin Tuan Losin, 48, dengan sekali lafaz, hari ini.
Pasangan itu dinikahkan abang pengantin perempuan, Zulkifly Baharom dengan mas kahwin berupa tiga dinar emas.
Majlis pernikahan dua mempelai itu berlangsung di Bizmilla Garden Hall, One City, Kuala Lumpur, yang dihadiri lebih 100 tetamu.
Lebih menarik, majlis pernikahan tersebut dimulakan dengan acara khatam Al Quran oleh pengantin lelaki.
Anita membuka hatinya untuk kembali berumah tangga, selepas hampir setahun kehilangan suaminya, penerbit televisyen, Allahyarham Mohd Ismadi, yang meninggal dunia dalam tidur pada 1 Januari lalu.
Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8.
Manakala, ini adalah perkahwinan kali kelima buat Engku Isyamuddin. – Malaysiapost

