UMNO telah meninggalkan asas perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan negara, serta melanggar resolusi Perhimpunan Agung parti itu yang menolak untuk bekerjasama dengan DAP dan sekutunya, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS itu berkata, namun beliau percaya terdapat sebahagian besar pemimpin Umno tidak redha dengan langkah songsang oleh segelintir pemimpin mereka, bahkan ada yang secara terbuka melakukan protes.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kini DAP yang membawa agenda cauvinisme sudah tidak perlu bersuara, kerana mereka telah berjaya mengadakan ‘bala tentera Melayu’ dalam kalangan DAP sendiri terdiri daripada PKR, Amanah dan NGO yang bersamanya.
“Kini, mereka pula berjaya menarik daripada kalangan Umno yang menyerah kalah demi kepentingan diri tertentu sahaja,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.
Jelas Abdul Hadi, pada PRU15 lalu, isu yang dimainkan dan diapi-apikan PH adalah menentang rasuah, salah laku, perompak, penyamun, penyeleweng, penyangak.
“Serta salah urus dan segala nama kesalahan yang meresahkan masyarakat umum yang membocorkan hasil negara.
“Semua itu dijadikan modal kempen mereka bagi menarik sokongan rakyat, disertakan pula dengan janji yang luar biasa di luar kemampuan untuk dilaksanakan, semata-mata untuk memancing undi rakyat,” katanya.
Abdul Hadi berkata, kini mereka mula menunjukkan tembelangnya yang sebenar dengan politik yang menghalalkan segala cara bagi mendapatkan kuasa.
“Malangnya, mereka ditolak oleh anak muda yang mewujudkan gelombang di seluruh kawasan majoriti Melayu.
“Kejayaan PH bergabung bagi membentuk kerajaan, dicukupkan jumlah dengan gabungan segala puak dan individu yang melakukan kemungkaran yang menjadi sasaran mereka dalam masa kempen pilihan raya.
“Puak yang mereka senaraikan dalam kalangan yang tidak bermoral, dikatakan perasuah, perompak, lanun dan sebagainya,” katanya.
Abdul Hadi berkata, sifat buruk ini dilakukan kerana PH terlalu bersemangat penuh rakus dan gila akan jawatan yang menghantui pemimpin mereka.
“Kumpulan ini juga akhirnya berjaya mengambil alih kerajaan dengan cara di luar tabii daripada demokrasi yang biasa diamalkan di seluruh dunia.
“Percayalah hasil tanaman politik daripada benih-benih tersebut akan membuahkan akibatnya secara berturut-turut, sehinggakan ia akan meruntuhkan kerajaannya sendiri dan menimpa para penumpangnya sekali,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berkata, Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan 60 peratus pengundi Melayu Islam, bersama sokongan sebahagian besar pemimpin dan akar umbi Umno yang masih setia kepada agama dan bangsanya.
Katanya, ia termasuklah sokongan parti bukan Melayu yang tidak fanatik perkauman seperti Gerakan, MCA, MIC, termasuk Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan lain-lain.
“Akan tetapi, PN tidak dilayan secara sopan. Walaupun PN telah melaksanakan pendekatan kerjasama mengikut adab demokrasi dan undang-undang, dengan mencapai kerusi yang boleh bertahan untuk mendapat kuasa politik yang sebenar secara demokrasi.
“Malangnya, ia dipintas dengan dilakukan pembentukan kerajaan secara luar tabii daripada amalan demokrasi yang sebenar dengan tipu daya dan putar belit yang sudah diketahui umum,” katanya.
Selain itu, menurut Abdul Hadi, kenyataan sebenar Istana Negara sekiranya dibaca dengan teliti dan berhemah adalah berlainan dengan kenyataan politik para pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang cuba berbohong dan berselindung di belakang ‘gambar’ Istana Negara.
Katanya lagi, istilah Kerajaan Perpaduan cuba dinyatakan dengan menyalahi maknanya yang sebenar.
“Malah, istilah Kerajaan Minoriti juga tidak tepat mengikut istilah ilmu politik, walaupun bagi mencukupkan pembentukan sebuah kerajaan terpaksa digabungkan semua parti menjadi satu atas nama PH, bukannya mengikut parti masing-masing seperti DAP, PKR, dan Amanah.
“Sebaliknya akuan bersumpah (SD) yang telah diusahakan oleh PN daripada berbagai-bagai parti secara amalan demokrasi tidak dilayan,” katanya. – Malaysiapost

