Tanah runtuh: Pasukan SAR temui 4 lagi mangsa terbaharu

0
2

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) menemui empat lagi mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highland, hari ini.

Pusat Pengurusan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), menerusi kemaskini jam 11.04 pagi ini memaklumkan pasukan SAR berjaya menemui empat mangsa, iaitu dua kanak-kanak dan dua individu dewasa masing-masing lelaki dan wanita.

Katanya, empat mangsa tersebut ditemui di Sektor C iaitu di sekitar kawasan River Side.

“Ini menjadikan jumlah mangsa korban tanah runtuh yang berjaya ditemui adalah sebanyak 30 orang.

“Operasi SAR ini yang telah masuk hari ke-7 akan diteruskan lagi bagi mencari baki tiga lagi mangsa yang masih belum dijumpai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, sebentar tadi.

Satu sidang media berkenaan perkara itu akan diadakan pihak bomba dan polis pada masa terdekat.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, mengesahkan penemuan mayat pertama dalam operasi SAR yang diteruskan hari ini, pada jam 10.39 pagi.

Dalam tragedi jam 2.42 pagi Jumaat lalu itu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter berlaku di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dengan 61 dilaporkan selamat, manakala 30 lagi disahkan terkorban dan tiga masih hilang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here