Jururawat terlibat kemalangan tetap bantu pesakit mahu bersalin

0
2

SEORANG jururawat komited meneruskan tanggungjawab membantu pesakit yang ingin bersalin, meskipun mengalami kecederaan selepas ambulan dinaiki terbabit kemalangan.

Pengarah Hospital Semporna, Dr Mohd Syahfadzreen Yunus, berkongsi kisah tersebut menerusi hantaran Facebook, sebelum ianya tular sejak malam tadi.

Katanya, beliau tersentuh melihat semangat jururawat itu membantu pesakit melahirkan bayi dengan selamat, tanpa mengendahkan dirinya sendiri yang turut cedera.

“Gambar ini bukanlah isunya. Tetapi hati ini terkilan dan degupan jantung terhenti seketika apabila warga kerja hospital yang turut terbabit sama masih membantu pesakit melahirkan bayi dengan selamat selepas kemalangan di tempat kejadian.

“Alhamdulillah ibu dan bayi selamat dan sihat dan setibanya staf berkenaan di Wad Kecemasan Hospital Semporna (dihantar menggunakan ambulans kedua hospital dan ambulans bomba) ayat pertama yang mereka tuturkan – “Saya berharap saya ok sebab nanti rakan lain akan terpaksa cover tugasan saya”.

“Meruntun hati dengar. Di sebalik kecederaan dialami dan memerlukan rawatan lanjut di hospital berpakar, masih merisaukan pesakit dan beban kerja yang ada,” tulisnya dalam hantaran itu semalam.

Dr Mohd Syahfadzreen berkata, perkongsian beliau itu adalah contoh pengorbanan warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membantu masyarakat.

“Mari bersama doakan agar yang terlibat cepat sembuh. Moga semua juga diberi ketabahan. Semangat mereka tak pernah luntur dan ini yang menjadi sumber kekuatan.

“Perjuangan perlu diteruskan dan moga sentiasa dibawah lindunganNya,” ujarnya lagi.

Dalam kejadian tersebut, ambulan yang dalam perjalanan ke Hospital Tawau dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas selepas cuba mengelak sebuah pacuan empat roda (4WD) yang memotong secara tiba-tiba dari arah bertentangan.

Dua jururawat dilaporkan mengalami kecederaan, dengan seorang daripadanya cedera pada bahagian belakang badan, manakala seorang lagi patah tulang pinggul.

Wanita hamil berusia 26 tahun dilaporkan selamat dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Pemandu ambulans pula hanya cedera ringan dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Semporna untuk pemeriksaan Kesihatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here