2 juta kenderaan menjelang Krismas, cuti hujung tahun – PLUS

0
3
lebuhraya

TRAFIK di Lebuhraya PLUS dijangka mencecah sebanyak dua juta kenderaan sehari sempena Krismas dan cuti hujung tahun.

Peningkatan jumlah pengguna kenderaan itu dijangka bermula pada 23 Disember hingga 2 Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, lebih daripada 1.8 juta kenderaan direkodkan secara konsisten berikutan bermulanya cuti sekolah.

“Sejak kita memasuki fasa endemik, PLUS merekodkan jumlah trafik yang tinggi iaitu sebanyak 1.8 juta kenderaan sehari berbanding 1.6 juta kenderaan sehari pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19.

“Berdasarkan corak perjalanan pelanggan dan data trafik ketika cuti perayaan dan cuti hujung tahun yang lalu, kami menjangkakan kira-kira 2 juta kenderaan akan melalui rangkaian lebuh raya kami setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Zakaria menyarankan pengguna lebuh raya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) selain bersedia menempuh tempoh perjalanan yang lebih panjang disebabkan lonjakan trafik.

Menurutnya, bagi perjalanan dari Lembah Klang pada 23 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023, pengguna yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi.

Beliau berkata, bagi pengguna yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain bagi tempoh berkenaan pula dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya antara pukul 12 tengah hari hingga pukul 4 petang.

Katanya, bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor, pengguna dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi.

Menurutnya, jadual TTA boleh juga dirujuk di laman web PLUS di www.plus.com.my atau saluran-saluran media sosial mereka.

Selain itu, katanya, PLUS telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja dan tiada penutupan lorong bermula 23 Disember hingga 26 Disember dan antara 30 Disember 2022 hingga 1 Januari 2023 untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya.

Bagaimanapun, katanya, penutupan lorong mungkin terpaksa dilakukan bagi kerja-kerja pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, kerja pembersihan di lokasi kemalangan dan pembaikan yang kritikal atas sebab keselamatan.

Justeru, beliau menasihatkan pelanggan lebuh raya merujuk laman Twitter PLUS untuk mendapatkan maklumat terkini atau menggunakan Aplikasi PLUS yang membolehkan mereka mengenal pasti kawasan mengalami kesesakan.

“Pastikan kenderaan dalam keadaan baik, mendapat rehat yang cukup, dan sediakan keperluan penting seperti air, susu tepung bayi, ubat-ubatan untuk orang tua dan makanan ringan dalam kenderaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kad Touch ‘n Go atau e-wallet mereka mempunyai baki yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang kesulitan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here