KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) diminta mengaktifkan pasukan sukarelawan dikenali sebagai Sahabat KDN dalam usaha membantu rakyat yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau mengarahkan perkara itu selepas menerima banyak komen dan mesej di media sosial daripada pelbagai pihak yang ingin turut sama membantu mangsa banjir.

“Insya-Allah saya telah minta kementerian untuk mengaktifkan sukarelawan yang dipanggil Sahabat KDN untuk fasa pembersihan pasca banjir nanti. Semua dialu-alukan untuk turut serta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, ketika ini aset KDN bersama 18,170 petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 4,367 petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sudah dikerah untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

“Fokus tetap sama iaitu untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat.
“Sama-sama kita berdoa moga bencana banjir ini segera pulih, Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

