USUL tergempar mengenai banjir di Pantai Timur yang dikemukakan Syed Saddiq Abdul Rahman (MUDA-Muar) ditolak untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.
Presiden Muda itu berkata beliau dimaklumkan usul tersebut ditolak atas alasan ‘faktor masa’.
Sehubungan itu beliau meminta ia dibahaskan di kamar khas dengan penyertaan menteri yang berkait rapat mengenai isu tersebut.
“Kerana ini isu nasional, mendesak dan penting walaupun tidak dapat dibahaskan di Parlimen, speaker pada waktu tersebut menggunakan kuasa 16 (i) untuk dibahaskan sekurang-kurangnya di kamar khas dengan penyertaan menteri yang berkait rapat.
“Ini isu penting, isu nasional dan melibatkan lebih 50,000 keluarga yang teruk terkesan dengan banjir,” katanya.
Beliau merujuk usul tergempar bencana banjir dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu ketika bergelar ketua pembangkang.
“Saya minta ia sekurang-kurangnya dibahas di kamar khas,” kata Syed Saddiq lagi, lapor FMT.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul kemudian menjelaskan tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan kerajaan sudah mengambil tindakan wajar.
Ia termasuk mengumumkan peruntukan besar yang akan disalur segera bagi membantu mangsa banjir.
“Kita dimaklumkan oleh Menteri Kewangan (Anwar) tadi bahawa tindakan segera telah, sedang dan akan diambil dan peruntukan besar telah pun disediakan untuk membantu mangsa banjir.
“Untuk itu saya ingat ini agak selari dengan apa yang difikir oleh Yang Berhormat (Syed Saddiq),” katanya.
Semalam, Syed Saddiq memaklumkan beliau mengemukakan usul itu kepada speaker agar langkah mitigasi banjir dapat dibincang segera bagi membendung risiko dan impak, khususnya di Pantai Timur.
Beliau menegaskan isu banjir itu adalah perkara mengenai kepentingan orang ramai yang perlu ditangani segera. – Malaysiapost

