6 hospital, 72 fasiliti kesihatan terjejas banjir – Dr Noor Hisham

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan susulan banjir yang melanda negara sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL), beberapa fasiliti kesihatan turut dilaporkan terjejas akibat bencana itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata fasiliti kesihatan yang terjejas adalah di Kelantan dan Terengganu.

Menurutnya, di Kelantan sebanyak dua hospital terjejas akibat banjir iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan Hospital Tengku Anis (HTA), Pasir Puteh.

“Semua perkhidmatan di HRPZ II masih beroperasi seperti biasa walaupun bangunan hospital dimasuki air.

“Perkhidmatan Makmal dan Perkhidmatan Pengimejan dan Diagnostik di HTA diberhentikan sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penutupan bekalan kuasa dalaman juga dilakukan bagi melindungi peralatan daripada kerosakan akibat litar pintas telah dilakukan oleh pihak hospital.

“Sebarang keperluan perkhidmatan tersebut akan dirujuk ke hospital berdekatan iaitu HRPZ II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Sebanyak 19 pesakit dari HTA dipindahkan ke HRPZ II dan HUSM kerana dikhuatiri paras air banjir akan meningkat pada bila-bila masa. Pemindahan pesakit-pesakit ini diuruskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Kelantan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, di Terengganu sebanyak empat hospital telah terjejas dan berkemungkinan terjejas banjir yang dipantau secara rapi iaitu Hospital Kemaman, Hospital Besut, Hospital Setiu, dan Hospital Hulu Terengganu.

“Peningkatan paras air akibat banjir telah menyebabkan limpahan air ke dalam ruang Jabatan Kecemasan dan Dewan Bersalin di Hospital Kemaman pada malam 18 Disember 2022 dan telah surut pada pagi 19 Disember 2022.

“Peningkatan paras air mendadak di kawasan berhampiran Hospital Besut, Hospital Setiu, dan Hospital Hulu Terengganu telah menyebabkan laluan ke hospital dan kawasan sekitar terputus dan hanya dapat dilalui menggunakan kenderaan air atau udara.

“Walau bagaimanapun, hospital-hospital ini telah bersedia untuk menghadapi bencana banjir dengan keperluan bekalan perubatan, makanan, dan pakai buang yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, fasiliti klinik dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terjejas pula adalah sebanyak 32 fasiliti di Kelantan iaitu 22 klinik desa dan 10 klinik kesihatan.

“Dari jumlah ini, sebanyak tujuh fasiliti kesihatan masih beroperasi, 22 pindah operasi ke fasiliti kesihatan alternatif, dan tiga tidak beroperasi.

“Sebanyak 40 fasiliti kesihatan terjejas banjir di Terengganu iaitu 27 klinik desa, lima klinik kesihatan, empat klinik pergigian, tiga PKD, dan satu Unit Vektor di Jabatan Kesihatan Negeri.

“Dari jumlah ini, sebanyak 19 fasiliti kesihatan masih beroperasi, enam pindah operasi ke fasiliti kesihatan alternatif, dan 15 tidak beroperasi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here