Banjir: Rakyat Kelantan perlu waspada, siap siaga hadapi kemungkinan

0
3

TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah meminta rakyat negeri itu berhati-hati dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dalam tempoh bencana banjir yang berlaku ketika ini.

Naib Presiden PAS itu turut menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan kejadian menimpa tiga beradik perempuan yang maut akibat terkena renjatan elektrik di rumah mereka di Kampung Bendang Surau, Morak di Tumpat pagi tadi.

“Sayu hati ketika menziarahi mangsa banjir di PPS (Pusat Penempatan Sementara) sejak semalam dan tengahari ini di sekitar Pengkalan Chepa.

“Namun lebih mengejutkan menerima berita kematian tiga beradik di Kampung Morak, Tumpat kerana renjatan elektrik. Jenazah dalam keadaan baik, menutup aurat dengan sempurna.

“Sesungguhnya kepunyaan Allah segala yang telah diambil dan kepunyaanNya segala yang telah diberi,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, tiga beradik perempuan maut, dipercayai terkena renjatan elektrik di luar rumah mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau, Morak di Tumpat pagi tadi.

Kejadian dipercayai kira-kira jam 11.45 pagi meragut nyawa mangsa yang berusia antara 20 hingga 27 tahun.

Difahamkan, seorang daripada mangsa terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah sebelum terkena pula kepada dua adiknya turut berada di hadapan rumah, lapor Berita Harian.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Mohd Amar berkata, mengikut ramalan cuaca, luruan monsun sekali lagi akan memasuki Kelantan bermula hari ini, walaupun laporan semalam menunjukkan banyak tempat cuaca cerah.

“Hujan lebat dijangka berterusan sehingga Selasa (esok) di samping angin kencang dan ombak besar. Fenomena ini tentunya berpotensi untuk meningkatkan risiko banjir.

“Perbanyakkan doa dan memohon kebaikan dari Allah SWT. Semoga kita semua dilindungi dari sebarang keburukan,” katanya.

Mangsa banjir di Kelantan dilapor terus meningkat kepada 9,149 orang sehingga jam 8.20 pagi hari ini, berbanding 7,096 orang malam tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here