Mungkin saya silap, umum awal Ahli Dewan Tertinggi MN – Annuar

0
3

PENGASAS Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berlapang dada berhubung penarikan diri beberapa selebriti daripada badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Pengerusi MN itu berkata, beliau berterima kasih kerana mereka menyokong penubuhan NGO itu pada peringkat awal namun tidak dapat kekal lama atas faktor-faktor tertentu yang tidak boleh dielakkan.

“Saya menerima dengan baik,malah amat berterima kasih. Datuk Jamal Abdillah sahabat baik saya. Kami berkomunikasi hampir setiap hari.

“Ummi Nazeera umpama anak saya sendiri. Keluarga kami saperti adik beradik.Kerjaya mereka semua lebih penting,” katanya di Facebook, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Annuar yang dipecat Umno baru-baru ini berkata, kemungkinan beliau tersalah percaturan apabila mengumumkan awal senarai ahli dewan tertinggi (ADT) MN yang mengundang pelbagai tohmahan dan fitnah atas pertubuhan itu.

“Jadi tidak perlu dimomokkan perkara ini. MN sememangnya bakal melalui banyak cabaran. Tohmahan dan fitnah sudah asam garam kehidupan.

“Yang penting kita jujur dan ikhlas. Mungkin saya juga ada kesilapannya, dalam mengumumkan nama-nama ADT terlalu awal. Kita manusia biasa, tentu ada kekurangannya,” katanya.

Bagaimanapun, Annuar kekal berpandangan positif dan yakin MN mendapat sokongan orang ramai termasuk daripada golongan industri kreatif.

“Masih ramai kumpulan industri kreatif dan seniman yg telah menyertai MN. Kita tetap menyediakan sekurang kurangnya dua wakil dari industri kreatif dalam ADT. Biarlah penglibatan mereka diketahui bila tiba masa yang sesuai,” katanya.

Annuar turut memaklumkan mesyuarat pertama MN akan diadakan pada 7 Januari tahun hadapan.

“Mesyurat pertama hanya pada 7 Januari nanti, dan banyak lagi perkara yg perlu kita perhalusi insyaallah

“Mereka semua amat ikhlas dan saya menghargainya. Saya percaya mereka tetap merupakan personaliti ikon yang besar peranan dalam masyarakat, walaupun tidak berada dalam ADT MN,” katanya.

Sebelum ini nama Jamal dan Ummi tersenarai dalam ADT MN seperti yang tular di media sosial.

Namun beberapa hari kemudian, Jamal mengumumkan penarikan diri daripada MN dan kemudiannya diikuti Ummi yang mengumumkan untuk keluar dari MN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here