Banjir: 322 pencawang elektrik di Kelantan, Terengganu ditutup sementara

0
3

SEBANYAK 322 pencawang elektrik di Kelantan dan Terengganu ditutup sementara waktu mulai semalam berikutan keadaan hujan lebat dan banjir yang semakin teruk.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline berkata, setakat jam 11 pagi tadi, sebanyak 94 pencawang di Kelantan ditutup membabitkan empat daerah iaitu Pasir Mas 59 pencawang, Pasir Puteh (22), Tanah Merah (lapan) dan Kota Bharu (lima).

Di Terengganu, 228 pencawang elektrik ditutup melibatkan tiga daerah iaitu Kemaman 173 pencawang, Kuala Berang (50), dan Setiu (lima).

TNB Careline berkata, bekalan elektrik di daerah terbabit diputuskan sehingga keadaan selamat dan banjir kembali pulih.

“Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat,” menurut TNB Careline menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Sementara itu, TNB Careline memaklumkan penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat sekiranya banjir semakin bertambah buruk, memastikan keselamatan pengguna setempat.

“Sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Jauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here