SEMUA Ahli Parlimen diminta bertafakur selama satu minit ketika sesi pagi persidangan Dewan Rakyat dimulakan hari ini.
Ia bagi menghormati dan memperingati mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Genting Highlands-Batang Kali, Hulu Selangor, Jumaat lalu.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menzahirkan simpati Dewan Rakyat kepada keluarga mangsa memohon semua Ahli Parlimen bertafakur seketika manakala Ahli Parlimen beragama Islam membaca Al-Fatihah.
“Di kesempatan ini saya juga ingin menyatakan kesedihan dengan insiden terjadi tanah runtuh di Batang Kali yang mengorbankan nyawa.
“Saya berharap keluarga mangsa kekal tabah dan cekal dengan dugaan ini.
“Saya bagi pihak ahli Dewan Rakyat dan Parlimen sesungguhnya merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terbabit terutama pasukan keselamatan, agensi penyelamat dan pasukan perubatan dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa,” katanya dalam ucapan selepas dilantik jawatan itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Tragedi tanah runtuh itu dilaporkan setakat ini telah meragut 24 nyawa manakala sembilan lagi dilaporkan masih hilang. – Malaysiapost

