MISI mengesan sembilan lagi mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali – Genting Highlands yang memasuki hari keempat disambung, hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dimulakan pada jam 8 pagi.
Sehingga kini, tiada penemuan mangsa baharu diumumkan pasukan penyelamat selepas operasi disambung hari ini.
Operasi mencari semalam menyaksikan jumlah individu yang dilaporkan hilang kekal sembilan orang dengan 24 mangsa maut sehingga SAR ditamatkan pada 8.15 malam akibat hujan lebat dan kabus tebal di lokasi kejadian.
Media melaporkan 94 mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada jam 2.24 pagi, Jumaat lalu. – Malaysiapost

