ABANG Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 29, yang terkenal aktif dalam misi bantuan banjir kini berada di Kampung Matang, Terengganu yang dinaiki air, sejak semalam.

Azwan menerusi hantaran di Facebook, berkata misi bantuan kali ini turut disertai rakan-rakan sukarelawan yang lain.

“Terima kasih juga sahabat saya, Jiman Bakal jenazah. Jaga diri semua…Semoga mereka yang terlibat dengan banjir tabah dengan ujian Allah SWT,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Azwan turut menitipkan ucapan terima kasih kepada individu yang menyalurkan sumbangan ke tabung kebajikan miliknya, untuk digunakan dalam misi bantuannya kali ini.

Setakat pagi tadi, media melaporkan seramai 18,628 daripada 5,534 keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri akibat banjir.
Sehingga jam 7 pagi tadi, 181 PPS dibuka di Terengganu menempatkan 9,818 mangsa daripada 2,899 keluarga, manakala di Kelantan, sebanyak 80 PPS beroperasi melibatkan 8,637 mangsa daripada 2,583 keluarga. – Malaysiapost

