Proses gali tanah runtuhan dilakukan berperingkat, elak terkena mayat – Bomba

0
2
SEREMBAN 19 JANUARY 2017. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis pada Majlis Perbarisan Tahunan 2017 di Ibu Pejabat Jataban Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN

PROSES penggalian tanah runtuhan di tapak perkhemahan yang menggunakan jentera pengaut dijalankan secara berperingkat bagi mengelakkan terkena mayat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata pada peringkat awal pihaknya akan mengorek dan mengeluarkan tanah runtuhan sedalam tiga atau empat kaki untuk memudahkan mayat mangsa dikesan.

“Kita percaya mayat mangsa berada di dalam atau antara tanah runtuhan dan tanah asal.

“Jadi untuk mengeluarkannya kita akan korek tanah runtuhan sedalam tiga atau empat kaki dan kemudian membuat pemeriksaan menggunakan unit anjing pengesan atau manual.

“Jika tiada tanda-tanda menunjukkan mayat, kita akan teruskan penggalian namun secara perlahan untuk elak mayat terkena dengan pengaut jentera itu,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Norazam berkata, proses penggalian tanah runtuhan juga dipantau oleh seorang anggota pasukan penyelamat yang akan memberi panduan dan arahan mengenai cara-cara penggalian dilakukan.

“Kita tak nak mereka (pasukan penggalian) korek tanah itu seperti mereka mengorek tanah untuk kerja-kerja pembersihan tanah. Ia harus dilakukan secara perlahan dan tidak secara dalam,” katanya.

Beliau berkata, setakat pagi ini sebanyak lapan unit jentera pengaut digerakkan ke lokasi dan berkemungkinan ditambah mengikut kesesuaian.

Selain itu, Norazam berkata, pasukan penyelamat juga sudah mendapat bantuan peralatan Ground Penetrating Radar daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membantu proses pengesanan mayat di dalam tanah.

“Kedua-dua pasukan yang menggunakan peralatan ini ditempatkan di sektor A (Hillview) dan Sektor C (Riverside) bagi membantu mengesan lokasi mayat dan juga mengukur ketebalan tanah runtuhan yang berlaku ke atas mangsa-mangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here