EAIC buka kertas siasatan kes dalang Macau Scam lolos

0
2

KEHILANGAN suspek utama kes kegiatan pengubahan haram didalangi sindiket penipuan Macau Scam ketika dalam proses serahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada polis akan disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan itu mengikut Seksyen 28, akta berkenaan.

“Kami memandang serius kes suspek melarikan diri dan punca yang mengakibatkan ia boleh berlaku dan sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan di bawah Akta 700.

“EAIC juga akan sudah membuka kertas siasatan dan akan memaklumkan tindakan selanjutnya yang diambil nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Seksyen 28 adalah peruntukan yang membolehkan suruhanjaya itu memulakan siasatan berdasarkan inisiatif sendiri disebabkan ia mempunyai kepentingan terhadap orang awam.

Isnin lalu, suspek utama yang disiasat dalam kes itu dipercayai meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan SPRM di Putrajaya sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar.

Ketika kejadian, lelaki itu bersama tiga lagi suspek yang juga dalang utama kes penipuan Macau Scam dan dua pegawai polis dalam proses diserah kepada PDRM untuk siasatan berhubung kegiatan judi dalam talian dan penipuan Macau Scam.

SPRM sebelum ini sudah menahan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan membekukan wang simpanan lebih RM80 juta daripada 730 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta.

Sindiket cuci wang itu dipercayai melaburkan wang daripada aktiviti kegiatan berkenaan ke dalam perniagaan dijalankan selebriti dan personaliti serta usahawan kosmetik tempatan. -Malaysiapost