RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan turun padang meninjau perkembangan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, pagi tadi.
Baginda tiba pada jam 10.20 pagi diiringi Engku Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor, Raja Datuk Muzaffar Raja Redzwa dan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.
Baginda diberi taklimat dan penerangan berhubung kejadian tanah runtuh oleh Arjunaidi dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis.
Tengku Amir meluangkan masa kira-kira setengah jam sebelum berangkat pulang pada jam 10.50 pagi.
Terdahulu, operasi SAR mencari 12 mangsa yang hilang disambung semula jam 8 pagi tadi.
Setakat jam 11 malam tadi, 12 lagi individu dipercayai masih lagi hilang manakala seramai 21 mangsa dilaporkan meninggal dunia.
Media melaporkan seramai 94 mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.24 pagi. – Malaysiapost
Foto Kredit Harian Metro

