Wajib sokong undi percaya terhadap Anwar atau kerusi Parlimen dikosongkan

0
2

AHLI-AHLI Parlimen dari parti politik yang memeterai perjanjian persefahaman kerjasama dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hari ini diwajibkan mengundi untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dalam usul undi percaya yang bakal dibentangkan di Parlimen, Isnin depan.

Sekiranya berlaku kegagalan, keengganan atau kecuaian mana-mana Ahli Parlimen dalam gabungan berkenaan berbuat demikian, perjanjian itu menyatakan ia perlu diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti itu.

Justeru, ia dianggap sebagai peletakan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen, manakala kerusi Ahli Parlimen terbabit dikosongkan seperti dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan, memetik kandungan perjanjian tersebut seperti yang tular di media massa.

Perkara 4 perjanjian itu menyatakan: “Setiap parti dan pihak-pihak hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Setiap parti dan pihak-pihak hendaklah bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman di dalam parti-parti mereka bagi memastikan sokongan parlimen untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian yang membawa kesan kepada keabsahan Kerajaan Perpaduan Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Jika ada Ahli Parlimen yang gagal, parti hendaklah mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya kecil,” menurut intipati perjanjian itu.

Menjelang undi percaya di Parlimen yang akan diadakan pada hari pertama dewan itu bersidang Isnin depan, empat gabungan parti politik memeterai perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.

Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan adalah Setiausaha Agong gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (WARISAN). -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here