Anwar yakin Kerajaan Perpaduan kukuh sehingga tamat penggal

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh keyakinan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya akan terus kukuh sehingga tamat penggal selama lima tahun.

Beliau berkata, perjanjian persefahaman permuafakatan yang dimeterai lima gabungan parti politik akan menjamin kestabilan politik sekali gus memacu ekonomi negara.

Jelasnya, keyakinan itu berdasarkan komitmen semua parti dan gabungan politik yang menandatangani perjanjian berkenaan untuk terus menyokong kepimpinannya.

“Jika anda lihat apa yang sudah dirangka, perbincangan yang hebat (intense) untuk memahami , komitmennya adalah untuk menyokong kerajaan yang stabil, harapnya sehingga penggal berakhir.

“Kita capai persefahaman atau muafakat dengan hala tuju jelas (untuk) membangun negara, menjamin supaya sistem stabil dan tumpu perhatian mengangkat martabat negara sebagai negara maju,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian itu.

Lima gabungan yang memeterai perjanjian permuafakatan itu terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) , Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Warisan.

Ia ditandatangani Anwar selaku pengerusi PH, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi GPS Datuk Seri Abang Johari Openg, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, empat prinsip utama Perlembagaan Persekutuan yang terkandung dalam perjanjian pemuafakatan itu menjadi faktor utama BN menyokong sekali gus menandatangani perjanjian tersebut.

Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan, segala kekhuatiran mengenai kedudukan agama Islam, hak istimewa Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan Institusi Diraja diambil kira dalam perjanjian itu.

“Bagi BN, permuafakatan ini diterjemahkan dalam bentuk persefahaman setelah satu proses artikulasi terhadap hal yang termaktub dalam Perlembagaan menjadi persetujuan bersama,” katanya.

Manakala Abang Johari pula berkata, kestabilan kerajaan menjadi keutamaan dalam perjanjian itu dan yakin Perdana Menteri akan membantu Sarawak dalam menyelesaikan masalah terutama pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, perjanjian itu sebagai detik istimewa negara memandangkan Sabah amat memerlukan suasana stabil dan perpaduan yang kukuh, manakala Shapie menyifatkan ia dapat memantapkan politik dalam negara termasuk dalam menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here