Kerajaan Perpaduan Malaysia komited junjung Perlembagaan Negara – Asyraf

0
2

KERAJAAN Perpaduan Malaysia yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus mendukung iltizam yang terkandung dalam perjanjian permuafakatan gabungan parti-parti politik yang membentuk kerajaan ini, hari ini.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, termeterainya perjanjian gabungan parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia membuktikan kerajaan ini komited memilihara dan menjunjung perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Petang ini termeterailah majlis menandatangani perjanjian permuafakatan antara parti terutamanya PH, BN, GPS, GRS, WARISAN dan Ahli-Ahli Parlimen lain untuk membentuk gabungan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran itu Asyraf turut berkongsi salah satu intipati penting perjanjian tersebut.

“Dan bahawa gabungan-gabungan PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN yang menjadi pihak-pihak kepada Perjanjian Kerjasama ini dan parti-parti PBM dan KDM serta calon-calon bebas yang secara kumulatif membentuk dua pertiga daripada jumlah ahli Dewan Rakyat, dengan ini beriltizam menjana kesepakatan rakyat untuk memacu Malaysia di atas landasan yang progresif dan majmuk, supaya Kerajaan Persekutuan mengambil langkah yang perlu agar dasar, program, pendirian, perlakuan dan pembawaan kerajaan menjunjung peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam, Melayu/Bumiputra, Raja- raja Melayu dan Bahasa Melayu, sementara pada masa yang sama Kerajaan Persekutuan juga akan mempertahankan hak dan kebebasan rakyat bukan Melayu/Bumiputra/Islam mengamalkan agama, kepercayaan dan adat masing- masing mengikut Perlembagaan Persekutuan, agar keseluruhan semua rakyat Malaysia boleh hidup dalam suasana harmoni, saling mempercayai, mendapat peluang yang adil mengikut keperluan, dan saling memakmurkan dalam konteks hidup bernegara yang majmuk,” katanya.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu menyaksikan tiada satu parti politik melepasi majoriti mudah 112 kerusi Parlimen sekali gus menyebabkan Parlimen tergantung beberapa hari.

Namun kemelut itu dapat diselesaikan oleh Yang di Pertuan Agong yang menitahkan Kerajaan Perpaduan perlu ditubuhkan sekali gus melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Kecuali Perikatan Nasional (PN), semua parti lain termasuk Bebas akur dengan titah Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar sebagai Perdana Menteri. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here