JDT dominasi anugerah ABK2022, Arif kekal pemain paling bernilai

0
2

PENYERANG muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) dimenanginya musim lalu.

Bintang berusia 20 tahun itu diumumkan sebagai MVP buat kali kedua berturut-turut pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) yang diadakan secara virtual, malam tadi.

Arif yang berjaya menjaringkan lapan gol selain merekodkan 16 bantuan jaringan musim ini turut mempertahankan dua lagi gelaran iaitu anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Untuk kategori Penyerang Terbaik, Arif mengetepikan cabaran Faisal Halim dan Darren Lok. 

Manakala bagi kategori Pemain Muda Terbaik, dia mengatasi Azam Azmi Murad dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Musim ini Arif menikmati kejayaan luar biasa bersama JDT yang melakar sejarah meraih ‘quadruple’ dengan menyapu bersih semua kejuaraan iaitu Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Arif berkata, kejayaan yang diraih adalah hasil galakan dan sokongan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menaruh kepercayaan kepada pemain muda seperti dirinya untuk mempamerkan kualiti yang dimiliki.

“Tidak dilupakan kepada ketua jurulatih (Hector Bidoglio) dan pegawai JDT yang sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk beraksi dalam kesebelasan utama pada musim ini.

“Bagi keluarga saya, terima kasih kerana mendoakan kejayaan saya serta sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada saya. Tidak dilupakan kepada penyokong JDT yang sentiasa datang ke stadium, berikan sokongan kepada kami.

“Alhamdulillah musim ini kami banyak menang kejohanan di peringkat domestik, Insya-Allah tahun depan, saya akan jadi lebih baik berbanding musim ini dan harap peminat setia JDT jangan berhenti menyokong kami,” katanya.

JDT turut mendominasi anugerah lain menerusi Shahrul Saad yang memenangi kategori Pertahanan Terbaik, manakala Afiq Fazail (Pemain Tengah Terbaik) dan Bergson Da Silva (Pemain Import Terbaik).

Skuad Harimau Selatan itu turut dianugerahkan Pasukan Terbaik, sekali gus mempertahankan kategori itu sejak musim 2018.

Sementara itu, anugerah Penjaga Gol Terbaik menjadi milik pemain Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan Nafuzi Zain pula dinobatkan pemenang kategori Jurulatih Terbaik. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here