Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri
MASUK minggu keempat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sedikit demi sedikit telah berjaya melepasi beberapa ujian besar.
Pertama, ujian penerimaan rakyat dan penjawat awam kepada Kerajaan Perpaduan dan Anwar sendiri sebagai Perdana Menteri, di mana ianya kelihatan tenang, aman dan harmonis.
Kedua, Anwar turut melepasi ujian besar perlantikan Menteri dan Timbalan Menteri secara konsensus, matang dan bersifat nasion.
Ternyata Anwar berjaya menggunakan pengalaman sebagai mantan Timbalan Perdana Menteri suatu ketika dahulu dan mantan Ketua Pembangkang dengan menunjukkan kepimpinan yang pragmatik, kondusif dan berjiwa besar.
Kebimbangan kumpulan orde lama kononnya Anwar akan menjadi liberal ternyata jauh tersasar apabila ucapan pertama Anwar jelas memberi jaminan kedudukan Raja-Raja, Bahasa Melayu dan agama Islam akan dipelihara dan pada masa yang hak-hak rakyat Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan turut dipertahan.
Pertemuan saya sendiri dengan Anwar walaupun singkat amat-amat jelas menggambarkan Anwar seorang yang tegas, mendengar dengan teliti, menghormati masa dan memberikan arahan sangat jelas.
Saya tidak bimbang kemampuan Anwar mentadbir Kerajaan dan isu-isu domestik negara kerana kekuatan Anwar sendiri sebagai politikus sepanjang zaman dan pentadbir telah diuji dan terbukti dalam tempoh yang sangat panjang.
Bukan perkara sukar untuk Anwar memahamkan khalayak ramai isu-isu akauntibiliti, pengislahan pentadbiran Kerajaan dan reformasi politik negara.
Sebab itu saya kini melihat sudah sampai Anwar memulakan langkah meletak semula Malaysia dalam peta global yang lebih kompetitif dan menguntungkan negara khususnya dalam aspek ekonomi.
A Hero Of Our Time
Anwar dan Bank Dunia bukan perkara asing. Selain pernah mengetuai IMF, Anwar pernah dilantik Konsultan Institut Bank Dunia (2006) mengenai anti rasuah dan isu-isu akauntabiliti.
Anwar sendiri dihormati dalam bidang pendidikan antarabangsa, bukan sahaja pernah menjadi pensyarah penting di Saints Anthony’s College, Oxford, UK malah juga di University John Hopkins, USA.
Center for the Study of Islam and Democracy (CSID) misalnya sebuah pusat kajian Islam terkemuka di USA menggambarkan Anwar sebagai ‘a hero of our time’.
Ianya turut dibincangkan dalam pembentangan kertas, “Malaysia’s Anwar Ibrahim Urges Homegrown Democracy in Muslim” (2005).
Apabila Anwar merombak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menunjukkan pandangan jauh Anwar akan isu-isu makanan pada masa hadapan.
Tidak ramai yang tahu Anwar pernah mengemudi Kementerian Pertanian pada tahun 1984.
Anwar sudah dapat membaca isu food security di mana Malaysia akan berhadapan dengan isu keterjaminan makanan khususnya kebergantungan makanan daripada negara-negara luar.
Sebab itu saya percaya sudah sampai masa Anwar memberikan tumpuan kepada hubungan luar negara untuk mendepani isu-isu domestik, memandangkan perlantikan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri sudah pun selesai.
Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia masih lagi memainkan peranan besar dalam percaturan politik antarabangsa dan ekonomi global walaupun negara-negara pesaing seperti China dan India turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi global.
Indonesia pula sebagai negara terbesar di rantau Asia Tenggara kekal menjadi rakan tradisi yang sangat penting khususnya dalam sosio-ekonomi dan politik serantau.
Kita perlu sedar pakar-pakar strategik di Washington seperti Huntington meramalkan Indonesia akan mengetuai Asia Tenggara dalam perlumbaan ekonomi dan politik dunia selepas China dan India. Pandangan saya, Malaysia di bawah Anwar tidak seharusnya ketinggalan dalam perlumbaan sihat di peringkat global.
Di Timur Jauh, Anwar memerlukan hubungan akrab dengan negara-negara China, Taiwan, Hong kong, Korea Selatan dan Jepun bagi memastikan Malaysia tidak dilihat statik dalam hubungan dua hala khususnya isu ekonomi dan keselamatan serantau.
Saya tidak bimbang dengan dunia Arab dan negara-negara Afrika, kerana Anwar sudah mempunyai hubungan lama yang hanya perlu diperkasakan semula.
Jika semua ini boleh dimulakan semula oleh Anwar secara rasmi, saya percaya Malaysia akan mendapat faedah yang lebih besar khususnya dalam bidang ekonomi dan politik antarabangsa.
Malaysia dilanda semangat Morocco dan semangat Anwar. Teruskan Anwar!
Penulis mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang politik dan kerajaan
(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

