Tindakan tegas terhadap Penganjur ‘fun fair’ operasi tanpa lesen – Kor Ming

0
2

PENGANJUR tapak pesta ria di Eco Grandeur, Puncak Alam bakal dikenakan tindakan tegas kerana beroperasi tanpa lesen.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, pihaknya memandang serius insiden yang berlaku di tapak pesta ria berkenaan dan mencadangkan pihak penganjur dikenakan tindakan tegas.

Beliau berkata, syor itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan itu mengikut Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 yang mana sabit kesalahan penganjur berdepan denda RM25,000 serta penjara tiga tahun.

“Saya dapat makluman ‘fun fair’ itu memang tidak dapat kebenaran untuk beroperasi, maka saya syor tindakan tegas diambil kepada penganjur kerana anjurkan ‘fun fair’ tanpa lesen

“Ini mengikut undang-undang dibekalkan, jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa. Saya harap tidak ada lagi pihak cuba mengambil risiko terbabit, menganjurkan ‘fun fair’ yang boleh membahayakan keselamatan orang awam

“Bagi penganjur lain, PBT akan kaji sebelum keluarkan lesen mengikut peraturan dan undang-undang kecil yang memang sudah ada,” katanya pada sidang media kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghadapi Monsun Timur Laut di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid.

Dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh daripada satu permainan ‘fun fair’ di Eco Grandeur dalam kejadian yang berlaku malam Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa dilaporkan berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan telefon mengenai insiden terbabit pada kira-kira jam 8.50 malam.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka terjatuh dari permainan ‘Sotong Ride’ ketika sedang bergerak. Semua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here